Monday, 7 May 2012

Pemuda dan Kecantikan



Suatu hari seorang pemuda dari suku Taiyi berkunjung ke rumah ulama terkenal, Al Ahnaf Bin Kies namanya. Dalam pertemuan tersebut Al Ahnaf telah tertarik melihat ketampanan dan keelokan paras lelaki tersebut. Lalu tanpa berselindung, Al Ahnaf bertanya....
“Wahai orang muda, adakah engkau menghiasi wajahmu dengan sesuatu?”. Setelah diam seketika, lelaki tersebut menjawab. “Benar tuan, wajah ini telah saya hiasi dengan sesuatu”. Ujurnya lembut dan sopan sambil menyambung....
“Saya hiasinya dengan pertama... kalau bercakap saya tidak berbohong, kedua.... kalau orang bercakap saya dengar, ketiga.... kalau berjanji saya tepati, keempat.... kalau diberi amanah tidak saya khianati”.
Seusai mendengar jawapan itu, tersenyumlah Al Ahnaf sambil berkata, “Hai orang muda, engkau benar. Sungguh kau telah hiasi dirimu dengan akhlak yang terpuji. Kerana itu Allah telah hiasi pula wajahmu dengan sebaik-baiknya”.

Wali dan Perompak


Di kota baghad tinggalnya seorang perompak. Sehari-hari menyara hidup dengan merompak. Telah banyak rumah-rumah dinaiki dan dirompak olehnya. Pelbagai usaha juga telah dilakukan untuk menangkap perompak tersebut namun belum berhasil.
Suatu malam perompak tersebut memasuki sebuah rumah, segenap ceruk di intai dengan harapan dapat mencari sesuatu yang berharga. Tetapi malangnya tiada satu apapun yang di temui.... kecuali di satu ceruk terdapatnya beberapa guni kain. Perompak tersebut kemudiannya mengumpul guni-guni pakaian itu dan menjadikannya sebungkusan besar kain. Setelah siap perompak tersebut merasa penat lalu berehat sebentar.
Tatkala hampir tertidur dia terdegar bunyi orang memasuki rumah tersebut. Kelihatan seorang tua terbongkok-bongkok memasuki rumah itu sambil memegang sebuah pelita di tangannya.
Perompak itu merasa agak takut. Namun orang tua tersebut tidak pula kelihatan terkejut. bahkan sikap dan percakapan lemah lembut orang tua tersebut menghilangkan rasa khuatir di hati perompak tersebut. Orang tua tersebut juga berjanji pula untuk menolong perompak dengan berkata.... “bungkusan kain ini tak terlarat untuk kau angkat seorang, ayuhlah kita bahagikan kepada dua agar dapat aku bantu mengangkatnya”.
Perompak itu kemudiannya membalas dengan berkata “ Baiklah, tetapi aku akan mengambil bungkusan yang lebih besar kerana aku yang mula-mula memasuki rumah ini”. Dengan menyangka orang tua tersebut bersetuju bersubahat dengannya.
“Baiklah”, sahut orang tua itu. Kemudian dengan perlahan-lahan orang tua tersebut mengangkat dan mengikuti si perompak  dari belakang. Dengan separuh menengking perompak berkata “hei orang tua! Cepatlah engkau sebelum kita tertangkap oleh orang-orang”. Perompak itu kemudiannya berjalan dengan lebih pantas sehingga tidaklah terdaya orang tua tersebut mengejarnya.
Mungkin kerana usianya telah tua kerapkali jualah dia terjatuh sehingga luka dan berdarah. Bagaimanapun akhirnya kedua-duanya sampailah ke tempat persembunyian perompak tersebut. “sekarang kita telah sampai, ambilah bahagianmu dan pergilah engkau dari sini”. Kata perompak tersebut. Sambil merenung muka perompak tersebut orang tua itu berkata, “ hai orang muda ambilah semua barang- barang ini”.
Bagaimanapun perompak tersebut menolak sambil berkata, “ ambilah bahagianmu. Aku akan mengambil bahagianku”. Namun orang tua tersebut tetap menolak. Keadaan berlarutan beberapa kali sehingga perompak tersebut mula meninggikan suara.
Akhirnya orang tua itu berkata dengan nada perlahan.... “hai anak muda, ambilah semua barangan ini. Adapun rumah yang kau masuki tadi adalah rumahku. Pada fikiranku engkau lebih membutuhkannya sehingga engkau terpaksa membuat kerja mencuri ini. Engkau juga sudah tahu di mana rumahku. Datanglah sekiranya engkau memerlukan apa-apa bantuan dariku”.
Tercengang-cengahlah pencuri tersebut mendengar kata-kata itu. Dia terdiam sambil berkira-kira di dalam hati.... “aduh.. siapa gerangannya orang tua ini?, sehingga begitu sekali sikapnya”. Timbul rasa malu yang teramat di hatinya.
Beberapa ketika kemudiannya perompak tersebut mendatangi semula rumah orang tua yang dinaikinya. Niatnya untuk mencari tahu siapa gerangan orang tua tersebut. Di luar rumah, lelaki tersebut menemui seorang pemotong kayu lalu dia bertanya kepada pemotong kayu tersebut......
“Wahai saudara, tahukah anda siapa yang tinggal di rumah ini”. Sambil menunding jari ke arah rumah lelaki tua yang pernah di masukinya dahulu. Maka si pemotong kayu menjawab.... “ saudara tentunya tinggal di luar kampung ini. Seluruh penduduk kampung bahkan budak-budak kecil di sini tahu inilah rumah seorang Wali Allah, Junaid namanya”.
Lantas rasa malu lelaki tersebut bertambah-tambah pula dengan kesalan atas perbuatannya terhadap wali tersebut. Tanpa berlengah perompak tersebut mendatangi wali Allah yang dimaksudkan lantas memohon maaf sambil menangis teresak-esak. Wali tersebut tersenyum dan memaafkan perompak itu. Bermula pada saat itu  lelaki tersebut akhir menjadi seorang pemuda yang beriman lagi salih.


Si Tukang Kebun dan Amanah

      Raja yang sangat besar kekuasaanya memilih untuk hidup sebagai tukang kebun meninggalkan  kemewahan dan kekuasaanya hidupnya. kebun yang di jaga oleh si raja tadi mempunyai pelbagai jenis buah delima. suatu hari datanglah tuan kebun dan berkata "wahai si tukang kebun, bawakan daku sebiji delima yang paling manis lagi enak". tanpa banyak soal, bergegaslah si raja tadi membawakan delima seperti yang di pinta oleh tuan kebun tersebut. tatkala merasa buah yang dibawa, berubahlah air muka tuan kebun dan lantas dicampaknya buah tersebut sambil berkata:
      "Bawakan daku sebiji lagi buah delima yang lebih manis". sekali lagi raja tersebut mencari buah delima yang di pinta. Setelah merasa buah itupun juga dibuang oleh tuan kebun tersebut. kali ini dengan suara yang lebih keras tuan punya kebun berkata, " aku mahukan buah delima yang paling manis dan enak, sekian lama engkau menjaga kebun ku bagaimana engkau tidak tahu mana buah yang masam dan mana pula yang manis"
    Dengan suara yang lembut dan sopan si tukang kebun menjawab, "tuan amanahkan saya untuk menjaga kebun ini dan jagalah yang saya laksanakan. Demi Allah, tidaklah saya berani merasanya tanpa izin dari tuan". amarah tuan kebun menjadi kendur kerana kagum akan sikap amanah si tukang kebun.

Thursday, 3 May 2012

Khalifah dan Ilmu Pengetahuan....


             Khalifah Al Ma’amun merupakan pemerintah Islam yang terkenal kerana dalam minatnya terhadap ilmu pengetahuan. Suatu hari Al Ma’mun dikunjungi oleh salah seorang kaum kerabatnya iaitu Ibrahim Al Mahdi. Ketika tetamunya  itu samapi Al M’amun berada dalam majlis ilmu.
                Setelah beberapa ketika duduk , Al Mahdi bertanya... “Wahai ayah saudaraku, apakah yang tuanku sedang bincangkan?. Khalifah tersebut kemudianyya menjawab... “ Wahai Ibrahim kita semua ini masih dalam kekurangan yang banyak, inilah yang menjadi fikiran kita.
         Al Mahdi terdiam seketika, fahamlah ia kekurang yang dimaksudkan oleh khalifah ialah ilmu pengetahuan. Al Mahdi kemudianya berkata, “teruskan majlis keilmuan ini dan adakah pula orang yang tua seperti saya ini turut belajar bersama?”. Orang-orang yang ada di ruang istana sekelianya diam mendengarkan perbualan antara keduanya.
         Dengan tegas Al Ma’amun menjawab... “Demi Allah! Adalah lebih baik tuan mati menuntut ilmu daripada tuan hidup dalam serba kebodohan”. Al Mahdi dalam nada yang rendah bertanya lagi... “Jika begitu sehingga bila saya harus belajar?”  Dengan tersenyum khalifah tersebut berkata... “Selagi tuan hidup”.