Monday, 7 May 2012

Wali dan Perompak


Di kota baghad tinggalnya seorang perompak. Sehari-hari menyara hidup dengan merompak. Telah banyak rumah-rumah dinaiki dan dirompak olehnya. Pelbagai usaha juga telah dilakukan untuk menangkap perompak tersebut namun belum berhasil.
Suatu malam perompak tersebut memasuki sebuah rumah, segenap ceruk di intai dengan harapan dapat mencari sesuatu yang berharga. Tetapi malangnya tiada satu apapun yang di temui.... kecuali di satu ceruk terdapatnya beberapa guni kain. Perompak tersebut kemudiannya mengumpul guni-guni pakaian itu dan menjadikannya sebungkusan besar kain. Setelah siap perompak tersebut merasa penat lalu berehat sebentar.
Tatkala hampir tertidur dia terdegar bunyi orang memasuki rumah tersebut. Kelihatan seorang tua terbongkok-bongkok memasuki rumah itu sambil memegang sebuah pelita di tangannya.
Perompak itu merasa agak takut. Namun orang tua tersebut tidak pula kelihatan terkejut. bahkan sikap dan percakapan lemah lembut orang tua tersebut menghilangkan rasa khuatir di hati perompak tersebut. Orang tua tersebut juga berjanji pula untuk menolong perompak dengan berkata.... “bungkusan kain ini tak terlarat untuk kau angkat seorang, ayuhlah kita bahagikan kepada dua agar dapat aku bantu mengangkatnya”.
Perompak itu kemudiannya membalas dengan berkata “ Baiklah, tetapi aku akan mengambil bungkusan yang lebih besar kerana aku yang mula-mula memasuki rumah ini”. Dengan menyangka orang tua tersebut bersetuju bersubahat dengannya.
“Baiklah”, sahut orang tua itu. Kemudian dengan perlahan-lahan orang tua tersebut mengangkat dan mengikuti si perompak  dari belakang. Dengan separuh menengking perompak berkata “hei orang tua! Cepatlah engkau sebelum kita tertangkap oleh orang-orang”. Perompak itu kemudiannya berjalan dengan lebih pantas sehingga tidaklah terdaya orang tua tersebut mengejarnya.
Mungkin kerana usianya telah tua kerapkali jualah dia terjatuh sehingga luka dan berdarah. Bagaimanapun akhirnya kedua-duanya sampailah ke tempat persembunyian perompak tersebut. “sekarang kita telah sampai, ambilah bahagianmu dan pergilah engkau dari sini”. Kata perompak tersebut. Sambil merenung muka perompak tersebut orang tua itu berkata, “ hai orang muda ambilah semua barang- barang ini”.
Bagaimanapun perompak tersebut menolak sambil berkata, “ ambilah bahagianmu. Aku akan mengambil bahagianku”. Namun orang tua tersebut tetap menolak. Keadaan berlarutan beberapa kali sehingga perompak tersebut mula meninggikan suara.
Akhirnya orang tua itu berkata dengan nada perlahan.... “hai anak muda, ambilah semua barangan ini. Adapun rumah yang kau masuki tadi adalah rumahku. Pada fikiranku engkau lebih membutuhkannya sehingga engkau terpaksa membuat kerja mencuri ini. Engkau juga sudah tahu di mana rumahku. Datanglah sekiranya engkau memerlukan apa-apa bantuan dariku”.
Tercengang-cengahlah pencuri tersebut mendengar kata-kata itu. Dia terdiam sambil berkira-kira di dalam hati.... “aduh.. siapa gerangannya orang tua ini?, sehingga begitu sekali sikapnya”. Timbul rasa malu yang teramat di hatinya.
Beberapa ketika kemudiannya perompak tersebut mendatangi semula rumah orang tua yang dinaikinya. Niatnya untuk mencari tahu siapa gerangan orang tua tersebut. Di luar rumah, lelaki tersebut menemui seorang pemotong kayu lalu dia bertanya kepada pemotong kayu tersebut......
“Wahai saudara, tahukah anda siapa yang tinggal di rumah ini”. Sambil menunding jari ke arah rumah lelaki tua yang pernah di masukinya dahulu. Maka si pemotong kayu menjawab.... “ saudara tentunya tinggal di luar kampung ini. Seluruh penduduk kampung bahkan budak-budak kecil di sini tahu inilah rumah seorang Wali Allah, Junaid namanya”.
Lantas rasa malu lelaki tersebut bertambah-tambah pula dengan kesalan atas perbuatannya terhadap wali tersebut. Tanpa berlengah perompak tersebut mendatangi wali Allah yang dimaksudkan lantas memohon maaf sambil menangis teresak-esak. Wali tersebut tersenyum dan memaafkan perompak itu. Bermula pada saat itu  lelaki tersebut akhir menjadi seorang pemuda yang beriman lagi salih.


No comments:

Post a Comment